Thursday, September 3, 2015

Throwback Thursday #2 : Kids

Tangan lusuhnya tampak letih, namun masih lagi mampu untuk menadah doa. Mulutnya berkecumik memohon agar semuanya di permudahkan. Di sisinya hanya ada jala tanpa ikan di dalamnya. Tiada rezeki untuk dia hari ini. Hasratnya hanya untuk mendapatkan ikan yang istimewa buat anak gadisnya di hari lahirnya. 

Air mata keluar dari mata kelabunya dan terus berguling menuruni pipi tuanya. Langit berwarna jingga. Hilang matahari, memberi peluang kepada sang bulan untuk menemani sekalian umat. Dalam doanya, dia hanya mencipta satu hidup baru buat keluarganya. Keluar dari pondok yang menunggu masa untuk jatuh ke bumi, sumber makanan tanpa putus supaya dia dan keluarganya tanpa perlu berpuasa lagi, pendidikan yang terbaik buat malaikat-malaikat kecilnya.

Kakinya melangkah ke arah pondok usangnya. Dia terdengar gelak ketawa anak kecilnya. Dia memberi salam dan salamnya terjawab oleh suara kecil milik bidadarinya yang membesar setahun pada hari itu. Anak gadis itu terus melihat pada jalanya yang kosong. Namun di bibirnya masih tersenyum dan dengan pantas anak gadis itu memeluknya. Tanpa peduli bahawa pada malam itu, mereka harus berpuasa lagi.

-- Manusia yang paling berani? Pada aku adalah anak-anak kecil yang mampu menahan sakit dengan tersenyum, anak-anak kecil yang tidak tahu menipu dan terus jujur walaupun mereka akan di rotan, anak anak kecil yang hidup susah, namun masih lagi berjuang untuk hidup, tidak kenal tewas dan punya impian. Kita tahu, satu-satunya keikhlasan yang nyata adalah pada wajah anak-anak kecil. Dan sungguh, aku tak boleh bayangkan mereka yang tergamak membunuh anak sendiri dan bertindak kejam terhadap mereka. Aku tak mahu satu hari nanti, bila aku bangun, aku tidak dengar lagi suara gelak tawa mereka. Kerana tawa mereka itu satu lagu yang indah pada aku. Manakan tidak, rumah aku berhadapan dengan sebuah taska, setiap pagi dipenuhi dengan anak-anak kecil yang bermain kejar-kejar, di siang pula, terdengar mereka membaca doa sebelum makan tengah hari beramai-ramai, membaca al-quran di waktu petang dan seterusnya sambung bermain di taman taska tersebut. Ada ketikanya mereka berlari mengejar kucing aku, sharifah ollie. Aku baru pulang bekerja, sharifah ollie berlari mendapatkan aku yang sedang membuka mangga pagar rumah dan bergeser lalu berguling di kakiku. Anak-anak tadi menjerit

" Eh, itu kucing kakak tu la!"

"Kakak tu dapat kucing tu!"

Aku hanya mampu tersenyum kerana anak-anak itu tidak dapat keluar dari kawasan taska dan mereka terus bergayut di pagar taska. Untuk saat itu, segala lelah penat sakit aku bekerja seharian itu hilang. Boleh bayangkan jika suara mereka tidak lagi kedengaran? 



Yes. I love kids.
AisyaAzman

*Entri dari blog lama. 12.45am 17/11/2011. 

No comments:

Post a Comment

Hello Bloggers, do read my 'About Me' and 'Disclaimer' section before you leave a comment & play nice!